KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan penarikan subsidi petrol terhadap golongan berpendapatan tinggi, termasuk meneliti definisi kumpulan sasaran sama ada melibatkan T5, T10, T15 atau T20.
Menurut Malaysia Gazette,Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menerusi jawatankuasa yang diketuai tokoh korporat, Mohd Hassan Marican sejak sebulan lalu.
Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan langkah tersebut tidak membebankan golongan kelas menengah atasan.
“Kita sudah meneliti dan ada perbincangan sama ada (semakan subsidi) melibatkan golongan T5, T10, T15 atau T20 kerana tidak mahu ia membebankan kelas menengah atas.
“Pasukan mereka sedang meneliti dan kemudian mudah untuk pelaksanaan tapi pada prinsipnya setuju,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan penarikan subsidi petrol terhadap golongan berpendapatan tinggi.
Terdahulu, media melaporkan Pemuda UMNO akan membawa usul menarik balik subsidi petrol bagi golongan T20 ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) sebagai antara resolusi utama hasil Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0).








