PUTRAJAYA – Badan Peguam dibenarkan memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi.
Menurut Malaysia Gazette, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Malaysia yang diketuai Datuk Faizah Jamaludin membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas mendapati permohonan Badan Peguam mempunyai asas.
Susulan keputusan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini tidak membenarkan permohonan Badan Peguam untuk mencabar tindakan AG.
Mahkamah turut mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.
Faizah yang bersidang bersama Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin berpendapat semakan kehakiman tersebut menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan.
“Cabaran undang-undang Badan Peguam terhadap kedudukan Peguam Negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua bukanlah sesuatu yang remeh.
“Sebaliknya, ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit,” katanya.








