Ahli-ahli Dewan Di-Raja Selangor menegaskan bahawa titah Sultan Selangor dalam pembukaan Persidangan Dewan Negeri baru-baru ini tidak melanggar prinsip Raja Berperlembagaan, sebaliknya selari dengan peranan baginda sebagai ketua negeri.
Dalam satu kenyataan hari ini, mereka menyangkal dakwaan segelintir pemimpin politik dan pihak tertentu yang menyifatkan titah tersebut sebagai campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut kenyataan itu, Menteri Besar Selangor sememangnya dikehendaki berunding dengan Sultan dalam hal ehwal pentadbiran negeri, khususnya yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Rundingan membawa maksud Sultan berhak menerima sembah maklum mengenai urusan pentadbiran bagi membolehkan baginda memahami perkembangan semasa serta memberi nasihat sebelum keputusan dimuktamadkan,” menurut kenyataan tersebut.
Dewan itu turut menegaskan bahawa pandangan dan nasihat Sultan diberikan berasaskan kepentingan rakyat, tanpa dipengaruhi kepentingan politik.
Tambahnya, sebarang teguran dan peringatan oleh baginda adalah penting bagi memastikan pentadbiran negeri dilaksanakan secara bertanggungjawab.
“Sultan juga sentiasa menekankan tindakan yang efektif, bukan sekadar janji-janji kosong, dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat,” kata kenyataan itu lagi.








