Perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford menyaksikan Manchester United mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Liverpool, sekali gus menceriakan penyokong setia mereka.
Menurut Stadium Astro,lebih manis, kemenangan itu mengesahkan skuad kendalian Michael Carrick layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas kukuh di tangga ketiga dengan kelebihan enam mata berbanding lawan mereka itu.
United bermula garang apabila penyerang Brazil, Matheus Cunha, membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan yang menewaskan penjaga gol, Freddie Woodman.
Tuan rumah terus menekan dan hasilnya, Benjamin Sesko menggandakan kelebihan selepas situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti, sebelum gol tersebut disahkan menerusi VAR hasil hantaran Bruno Fernandes.
Memasuki babak kedua, Liverpool bangkit memperkemaskan rentak. Dominik Szoboszlai merapatkan jurang menjadikan kedudukan 1-2, sekali gus mencetus semangat kebangkitan pelawat.
Tekanan tinggi yang diterapkan skuad kendalian Arne Slot akhirnya membuahkan hasil apabila Cody Gakpo menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-56.
Namun, ketika perlawanan dilihat bakal berakhir seri, Kobbie Mainoo muncul wira The Red Devils dengan jaringan penentu yang menghadiahkan tiga mata penuh buat United di hadapan penyokong sendiri.








