ANFIELD: Ousmane Dembele menjaringkan dua gol untuk memastikan Paris Saint-Germain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menang 2-0 ke atas Liverpool, awal pagi tadi sekali gus melengkapkan kemenangan agregat 4-0 dalam aksi suku akhir.
Juara bertahan itu menyerap tekanan berterusan Liverpool yang mendapat sorakan padu penyokong tuan rumah sambil memanfaatkan kelebihan yang dibina dalam aksi pertama di Paris minggu lalu.
Skuad Kendalian Arne Slot cuba bangkit namun percubaan dari Ryan Gravenberch, Cody Gakpo, Joe Gomez dan Mac Allister gagal memecahkan kebuntuan.
PSG akan menentang sama ada Bayern Munich atau Real Madrid di separuh akhir, dengan kelab Jerman itu mendahului 2-1 menjelang aksi timbal balik.








