SHAH ALAM — Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menggesa semua pihak menghentikan sebarang tindakan atau cubaan melampaui batas, khususnya yang melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum).
Menurut Malaysia Kini,gesaan itu dibuat susulan isu penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk insiden terbaharu melibatkan hantaran di media sosial yang disifatkan tidak menghormati institusi berkenaan.
Beliau berkata, institusi raja perlu dipertahankan kerana menjadi simbol penyatuan dan berada di kedudukan lebih tinggi daripada perbezaan politik.
“Institusi yang tinggi seperti raja harus dipertahankan atau dilindungi, sebab ia adalah simbol kepada penyatuan dan institusi terbabit lebih tinggi daripada politik yang ada perbezaan.
“Malah kalau ada perbezaan sesama manusia pun, bukan hanya politik tetapi benda-benda yang lain, kita harus mengelakkan cercaan ataupun penghinaan kerana itu asasnya,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.








