Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP), Anthony Loke, menegaskan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan kekal dan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa.
Beliau berkata, setakat ini tiada perkembangan yang menjejaskan perjalanan kerajaan negeri walaupun timbul isu melibatkan 14 ahli dewan undangan negeri (Adun) yang dikatakan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar.
“Setakat ini tak ada apa. Perkembangan terkini saya rasa kita berjalan seperti biasa, seperti yang saya telah tegaskan.
“Dan semalam dalam Biro Politik UMNO telah pun mengeluarkan kenyataan, walaupun dikatakan 14 Adun itu hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, tetapi masih menyokong kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, pendirian itu turut disuarakan oleh Presiden UMNO dalam mesyuarat Kabinet, yang tidak bersetuju dengan penubuhan kerajaan baharu atau “kerajaan tebuk atap”.
“Jadi maksudnya kerajaan sedia ada ini kekal, kerajaan perpaduan di negeri ini kekal,” katanya.








