Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menegaskan pendiriannya menolak pembentukan kerajaan melalui kaedah “tebuk atap”, sambil menyatakan kritikan yang diterimanya tidak mengubah prinsip yang dipegang sejak awal.
“Prinsip saya jelas, malah telah dinyatakan secara terbuka dalam ucapan saya sebelum ini,” katanya.
Akmal menegaskan, jika UMNO menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan, langkah itu bukan bertujuan untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang atau kerana kepentingan jawatan.
“Kita menghormati mandat rakyat. Sebab itu saya nyatakan sebelum ini, tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah.
“Jika kerajaan tumbang, maka kita harus melalui proses pilihan raya untuk kita serahkan semula kepada rakyat, bukan dengan cara tebuk atap,” katanya.
Akmal turut mengkritik sikap pihak tertentu yang disifatkannya sebagai “pentaksub”, dengan mendakwa tindakan yang menguntungkan mereka dianggap betul, manakala sebaliknya ditolak.
“Rakyat perlukan pemimpin yang berprinsip, bukan pentaksub,” katanya.








