Pemuda PAS Selangor mengecam cadangan yang dibangkitkan oleh ADN Sri Kembangan daripada Democratic Action Party (DAP) berhubung penerokaan sistem penternakan babi tertutup dan moden di Selangor, dengan menyifatkannya sebagai biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, berkata cadangan tersebut, walaupun menggunakan konsep seperti zero discharge dan teknologi kitar semula biogas kepada elektrik, tetap tidak boleh diterima.
“Apabila titah Tuanku sudah jelas bahawa tiada lagi penternakan babi di Selangor, maka cubaan menghidupkan semula cadangan itu, walaupun dibalut dengan istilah moden seperti zero discharge, sistem tertutup dan biogas, tetap memperlihatkan sikap biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sukri turut mempersoalkan sikap membangkitkan semula perkara yang menurutnya telah dimuktamadkan pada peringkat tertinggi negeri, sambil menegaskan bahawa kebebasan berhujah di dalam Dewan tidak seharusnya disalahgunakan.
Katanya, isu tersebut bukan sahaja melibatkan adab terhadap institusi diraja, tetapi turut menyentuh keharmonian masyarakat majmuk, sensitiviti awam, alam sekitar dan ketenteraman negeri.








