Perikatan Nasional (PN) Perlis menafikan dakwaan kononnya terdapat komplot untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.
Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata hubungan antara PAS dan BERSATU dalam pentadbiran negeri kekal kukuh, selari dengan pendirian pimpinan pusat PAS yang menyokong kerajaan sedia ada sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut berita harian dakwaan berhubung gerakan undi tidak percaya itu tidak berasas dan disifatkan sebagai “tahyul” yang disebarkan pihak tertentu.
“Buktikan kepada saya, memang tidak ada pakatan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. PAS Pusat sudah membuat keputusan untuk menyokong kerajaan ini sehingga pilihan raya,” katanya ketika ditemui di Kangar, semalam.
Shahidan turut menjelaskan bahawa PAS, yang mempunyai majoriti kerusi dalam DUN Perlis, tidak perlu menggunakan mekanisme undi tidak percaya sekiranya mahu melakukan perubahan dalam pentadbiran negeri.
“Tidak perlu undi tidak percaya. PAS yang majoriti, PAS boleh beritahu jika mahu ambil alih. Tetapi itu bukan cara PAS.
“Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berpesan supaya hubungan yang baik dikekalkan dan kita berpegang kepada ketetapan PAS Pusat,” katanya lagi.








