Balu kepada Allahyarham Amirul Hafiz, Nor Nadia Abdul Majid, menyatakan harapan agar pelaku kes yang meragut nyawa suaminya bertanggungjawab menyara keluarganya sepanjang hayat, selaras dengan cadangan pelaksanaan pembayaran pampasan atau diyat dalam kerangka syariat Islam.
Menurut Nor Nadia, sekiranya hukuman gantung sampai mati tidak dilaksanakan terhadap pesalah, beliau mahu individu terbabit terus menanggung keperluan hidup dirinya dan anak-anak memandangkan mereka telah kehilangan tempat bergantung.
“Saya memang berharap pesalah dapat terus menyara keluarga saya selepas pemergian suami, selaras dengan cadangan agar pelaku membayar pampasan atau diyat dalam syariat Islam.
“Kalau pesalah tak dihukum gantung sampai mati, saya hendak dia menyara keluarga saya seumur hidup sebab saya dan anak hilang tempat bergantung memandangkan saya hanya suri rumah sebelum ini,” katanya dalam satu wawancara bersama Berita Harian.
Beliau turut menjelaskan bahawa di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, waris masih perlu melalui proses mahkamah untuk menuntut ganti rugi, termasuk memfailkan saman sivil.
“Mengikut perundangan sekarang, kita (waris) masih kena tuntut seperti saman RM1 juta yang saya mahu failkan. Proses ini boleh mengambil masa tiga hingga empat tahun.
“Apabila ada hukuman diyat sebegitu, maka tak perlu melalui proses panjang bagi menuntut ganti rugi,” katanya.
Tambahnya lagi, pelaksanaan mekanisme seperti diyat akan meringankan beban waris yang terpaksa menguruskan kehidupan baharu selepas kehilangan insan tersayang.
“Kalau memang sudah sedia ada undang-undang pembayaran ganti rugi atau diyat itu, maka tak perlu susah-susah untuk saya pergi mahkamah dalam pada perlu menguruskan anak kecil memandangkan saya kena bina hidup baru tanpa suami,” katanya.








