SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri dalam menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.
Menurut Sinar, Baginda bertitah, masalah banjir bukan perkara baharu, sebaliknya telah berulang kali dibangkitkan agar diselesaikan segera, termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri mendapatkan kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mengenal pasti kaedah terbaik.
Namun, menurut baginda, nasihat tersebut seolah-olah tidak dipedulikan dan diibaratkan seperti “mencurah air ke daun keladi” apabila isu berkenaan masih berterusan hingga kini.
“Setiap tahun diperuntukkan bajet bagi mengatasi banjir, namun hasilnya masih tidak memuaskan dan rakyat terus terkesan khususnya di kawasan perumahan di beberapa daerah,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan DUN, di sini, pada Isnin.
Sehubungan itu, baginda sekali lagi menegaskan agar kerajaan negeri memberi fokus utama terhadap penyelesaian isu banjir termasuk merangka pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang secara menyeluruh.








