ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bakal membuat kemunculan khas sebagai pelakon dalam filem The Keris, yang dijadual menemui penonton pada Julai depan.
Menurut Harian Metro, Muhammad Sanusi berkata pembabitannya dalam filem berkenaan melibatkan watak sebagai seorang panglima yang memberi semangat kepada pesilat dalam menghadapi pertarungan.
Menurutnya, watak itu membawa elemen kepahlawanan Melayu yang diinspirasikan daripada semangat perjuangan tokoh silam bagi membangkitkan motivasi dalam kalangan anak muda.
“Ini pengalaman baharu dalam hidup saya. Watak saya sebagai seorang panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.
“Semangat kepahlawanan Hang Tuah itu dijelmakan dalam The Keris, peranan saya adalah membawa semangat itu kepada anak muda yang terbabit dalam seni silat. Nak tengok saya berlakon, jom tonton The Keris,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Poster, Teaser dan Trailer filem The Keris, di sini, semalam.








