KUALA LUMPUR – Keyakinan pelabur global terhadap Malaysia berada pada tahap kukuh hasil komitmen kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan dasar serta memastikan kestabilan ekonomi, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, konflik di Timur Tengah yang menjejaskan pasaran global dan harga tenaga tidak menghalang Malaysia daripada terus menarik aliran masuk modal yang signifikan.
Menurut Malaysia Kini, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dana global telah membuat pembelian bon bernilai lebih AS$2 bilion di negara ini.
“Mereka lihat kerajaan mengotakan apa yang dijanjikan. Mereka lihat ekonomi yang mampu bertahan ketika keadaan di sekelilingnya merosot.
“Dan mereka melihat sesuatu yang kita sendiri sebagai rakyat Malaysia jarang katakan: bahawa negara ini menghasilkan barangan yang dunia benar-benar bergantung padanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.








