KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa pihak polis mengesahkan sama ada seorang wanita yang didakwa mengkritik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah ditahan atau sebaliknya.
Menurut laporan Malaysiakini, Hassan berkata perkara itu perlu diperjelaskan segera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat susulan dakwaan yang tular di media sosial mengenai penahanan wanita berkenaan.
“Tidak ada tindakan rahsia dalam operasi polis apabila seseorang awam ditahan. Tindakan polis dalam hal jenayah mesti mematuhi Kanun Acara Jenayah.
“Malaysia sebuah negara demokrasi, bukannya negara polis,” katanya.
Kenyataan Hassan itu hadir ketika polis yang masih berdiam diri selepas lebih 24 jam media membangkitkan laporan mengenai penahanan seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Jorjet Myla yang menuduh Anwar sering menyalahkan pihak lain atas apa yang dianggapnya sebagai ketidakmampuan dan prestasi hambar perdana menteri.








