KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa 31 Ogos 2026.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas 14 tahun bersama DAP, sejak menyertai parti berkenaan pada 2012.
Beliau berkata sepanjang tempoh tersebut, beliau diberi peluang menyumbang kepada parti dan negara dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 dan Ahli Parlimen Bangi dari 2018 hingga 2022.
Ong turut pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari 2018 hingga 2020, selain menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dilantik dari 2019 hingga 2022.
Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa negeri DAP Selangor yang dipilih dari 2018 hingga 2024.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Saudara Tony Pua kerana jemputan beliau kepada saya untuk menyertai parti DAP dan panduan yang diberikan oleh beliau kepada saya tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di facebook.








