MELAKA: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak harus dilihat sebagai pengakhiran perjuangan gabungan itu, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk bangkit mencatat kemenangan lebih besar.
Menurut Sinar Harian, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, sejarah PH membuktikan gabungan itu pernah berdepan kekalahan sebelum mencipta kejutan dengan kemenangan pada pilihan raya berikutnya.
Beliau berkata situasi itu bukan perkara baharu bagi PH kerana kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini turut disusuli kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU).
“Sejarah kita memang sentiasa kalah dulu. PRK, PRN sentiasa kalah, tapi datang PRU, dua kali menang, tubuh kerajaan. Ini memang sentiasa berlaku pada kita.
“Sebab kalah kali ini di Negeri Sembilan dan Johor, terpukul kita tapi kita lupa satu sejarah tentang kita, kekalahan akhirnya disambut di hujung sekali dengan kemenangan yang lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR Cabang Hang Tuah Jaya pada Sabtu.








