IPOH — Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bertitah usaha berterusan kerajaan negeri melalui pelbagai program intervensi berjaya mengurangkan jumlah isi rumah miskin di Perak, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan kerajaan persekutuan.
Menurut baginda, sehingga 7 April 2025, seramai 25,638 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan dalam data Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan sebagai miskin.
Bagaimanapun, data setakat 31 Disember 2025 menunjukkan seramai 11,648 KIR berjaya dikeluarkan daripada senarai tersebut, bersamaan pencapaian 45 peratus.
“Pencapaian ini mengatasi sasaran 33 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan tahun keempat Dewan Negeri Perak ke-15, hari ini.
Baginda menjelaskan, kejayaan itu dicapai melalui pelaksanaan pelbagai program termasuk pemadanan kerjaya, bantuan modal perniagaan, latihan kemahiran serta bantuan kebajikan yang disasarkan kepada kumpulan berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, baginda turut memaklumkan bahawa berdasarkan data eKasih, seramai 732 Ketua Isi Rumah berstatus miskin tegar berjaya dinoktahi sepenuhnya, mencatatkan pencapaian 100 peratus.
Titah tersebut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh usaha pembasmian kemiskinan secara menyeluruh dan berfokus, bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan secara mampan.








