Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak kemungkinan untuk beliau bersama 18 Ahli Parlimen yang menyokong agenda ‘Reset’ bergabung dengan sebuah parti besar sedia ada sebagai wadah politik.
Menurut Berita Harian tanpa mendedahkan parti mana yang dimaksudkan, Ahli Parlimen Larut itu berkata cadangan menubuhkan parti politik baharu bukanlah jalan terbaik dalam landskap semasa.
“Parti tidak boleh sekadar menjadi platform pertemuan atau aktiviti semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan sebagai satu perjuangan yang jelas dan berprinsip.
“Ada orang tanya saya, (nak tubuh) parti baharu atau (sertai) parti lama… saya nak katakan, saya tak bersetuju untuk kita menubuhkan parti baharu, tetapi kalau kita masuk parti lama dan kita perbesarkan, itu saya bersetuju.
“Yang penting kita buktikan rumah yang kita masuk nanti adalah satu-satunya yang akan kita perbesar dan ‘resetkan’ untuk menjadi wadah perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Jamuan Pagi Raya anjuran Sekretariat Reset Melaka di Peringgit Point, di sini hari ini.








