Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan MyKad milik individu lain, termasuk ahli keluarga sendiri, bagi tujuan membeli bahan api bersubsidi.
Ketua Pengarahnya, Badrul Hisham Alias, menegaskan bahawa MyKad merupakan dokumen pengenalan diri rasmi yang hanya boleh digunakan oleh pemilik sah dan tidak boleh diwakili oleh mana-mana pihak lain.
Menurut Malaysia Kini, larangan tersebut selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan bahawa pemilikan atau penggunaan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua urusan pembelian bahan api perlu dilakukan sendiri oleh pemegang MyKad, dan tindakan meminjamkan atau menyerahkan kad tersebut kepada orang lain boleh membawa padah.
Kenyataan itu susulan beberapa kes penyalahgunaan MyKad dikesan, termasuk insiden di Tumpat, Kelantan yang melibatkan seorang suspek menggunakan kad pengenalan milik empat individu untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95.








