KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa siasatan segera, telus dan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikaitkan dengan usaha “menyelesaikan” isu rangkaian yang digelar sebagai “mafia korporat”.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan itu amat membimbangkan kerana bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang besar, malah menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik serta integriti institusi negara.
Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila wang berkenaan didakwa diberikan bagi tujuan mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.
“Sekiranya benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan oleh kerajaan.
“Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi bahawa pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata PN menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya segera menjalankan siasatan secara bebas tanpa selindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Dalam pada itu, PN turut menggesa kerajaan, khususnya kepimpinan PKR, supaya memberikan penjelasan segera kepada rakyat serta memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan.
Tambah beliau, kegagalan menangani dakwaan berkenaan secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.
Mengulas lanjut, PN menegaskan identiti individu yang terlibat wajar ditentukan melalui proses siasatan yang sah bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi pihak yang tidak bersalah.
“PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan,” katanya.
Beliau menambah, integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani.








