Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, mendakwa sebahagian besar kepimpinan tertinggi MIC memilih untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN).
Dalam satu hantaran di Facebook, Puad berkata berdasarkan sumber dalaman yang dipercayai, kira-kira 95 peratus anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang bermesyuarat semalam telah membuat keputusan untuk kekal dalam BN.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai tepat dan selari dengan kehendak majoriti ahli MIC di peringkat akar umbi.
“Lagi pun MIC turut menyertai retreat BN yang diadakan pada Februari lalu. Itu petanda awal MIC akan kekal dalam BN,” katanya.
Puad turut menggesa kepimpinan utama MIC, khususnya presidennya, agar konsisten dan akur dengan keputusan majoriti tersebut demi memastikan kebangkitan parti serta kesatuan dalam BN.
Menurutnya, kegagalan berbuat demikian berisiko menyebabkan MIC berpecah dan semakin lemah.
Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan terhadap kemungkinan MIC menyertai Perikatan Nasional (PN), yang menurutnya sedang berdepan perpecahan dalaman.
“Apatah lagi jika MIC sertai PN yang berpecah. MIC tidak selamat,” katanya.
“Lihat sahaja cara PAS membuli Bersatu seperti muslihat mereka kekalkan Hamzah yang tidak berparti sebagai Ketua Pembangkang,”








