Ahli perniagaan Victor Chin menafikan dakwaan bahawa bayaran RM9.5 juta yang dikaitkan dengan seorang ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertujuan untuk menyelesaikan sebarang kes dengan agensi penguatkuasaan.
Dalam kenyataannya, Chin menegaskan bahawa tuduhan yang mengaitkan bayaran itu dengan usaha untuk mempengaruhi atau menyelesaikan kes adalah tidak berasas.
“Bayaran itu bukan dibuat untuk ‘kawtim’ mana-mana agensi penguatkuasaan, mahupun untuk menutup sebarang siasatan atau menyelesaikan dakwaan salah laku terhadap saya.
Ia adalah ‘yuran perkhidmatan’ yang dibuat dalam situasi ekstrem, bagi menghentikan permusuhan terhadap orang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan saya,” katanya.
Chin mendakwa dia diberitahu bahawa wang berkenaan akan diserahkan kepada kumpulan mafia korporat tersebut bagi memastikan keselamatan dirinya.
“Saya diberitahu bahawa bayaran RM9.5 juta itu akan diserahkan kepada kumpulan mafia korporat untuk memuaskan hati mereka, menghentikan permusuhan terhadap orang-orang saya, dan memberi saya peluang kedua untuk hidup.
“Letakkan diri anda di tempat saya. Saya berada bawah tekanan yang amat besar daripada kumpulan mafia korporat,” kata Chin lagi.
Isu berkenaan timbul susulan dakwaan yang mengaitkan seorang ahli Parlimen PKR dengan penerimaan bayaran tersebut, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung tujuan sebenar transaksi itu.








