PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan terhadap individu dikenali sebagai Victor Chin berhubung dakwaan pemberian wang kepada seorang wakil rakyat PKR.
Dalam satu hantaran di Facebook, Fadhli berkata siasatan itu perlu dilakukan segera selepas sambutan Hari Raya, susulan dakwaan bahawa individu terbabit telah mengaku memberi RM9.5 juta kepada seorang ahli Parlimen PKR.
“Jika SPRM sudah selesai berhari raya, dimohon untuk siasat Victor Chin kerana sudah mengaku beri RM9.5 juta kepada seorang MP PKR,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan tidak seharusnya ditangguhkan atau menunggu sebarang kelulusan daripada Perdana Menteri.
“Takkanlah nak tunggu kelulusan PMX pula,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan Victor yang terkait dengan skandal mafia korporat mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai sebanyak RM10 juta bagi menyelesaikan skandal tersebut.
Dalam dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa didakwanya itu, Victor bagaimanapun berkata, dirinya hanya menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.
Menurutnya, namun baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepada ahli Parlimen tersebut kerana isu berkenaan tidak diselesaikan.








