Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengambil tindakan susulan berhubung satu hantaran media sosial yang tular melibatkan sebuah kenderaan dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti besar di sebuah stesen minyak di sekitar Skudai pada 21 Mac lalu.
Menurut kenyataan media hari ini, KPDN Johor telah menjalankan pemeriksaan terhadap stesen minyak berkenaan, termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta penelitian rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.
Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan dan satu lagi diisi ke dalam tong plastik yang diletakkan di bahagian but kenderaan dengan kuantiti melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
Dalam operasi tersebut, pasukan penguat kuasa KPDN turut menjalankan siasatan di lokasi serta memberi peringatan kepada pihak pengurusan stesen minyak supaya sentiasa mematuhi peraturan dan meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
KPDN Johor memaklumkan bahawa tindakan kes telah diambil di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961, atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan, dan bagi kesalahan berulang, jumlah denda boleh meningkat sehingga RM5 juta.








