Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mencadangkan sekurang-kurangnya tiga undang-undang baharu bagi menutup kelompongan dalam pembiayaan awam serta membendung salah guna dana dan rasuah.
Beliau berkata, cadangan itu merangkumi aspek rasuah berskala besar serta kutipan dana oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk isu penyalahgunaan sumbangan awam.
Menurut Malaysia Kini, Cadangan Pertama,Azam menjelaskan undang-undang pertama berkait salah laku dalam jawatan awam, dengan tujuan mencegah perlakuan tidak wajar dalam kalangan penjawat kerajaan yang boleh membuka ruang kepada kesalahan lebih serius
Cadangan kedua pula melibatkan penggubalan Akta Kebajikan bagi mengekang penyalahgunaan dana awam oleh NGO, selain mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kebajikan untuk memantau pengurusan sumbangan awam dan korporat sambil menjelaskan bahawa SPRM mengesan kebimbangan berhubung potensi salah guna oleh individu yang mempunyai akses kepada dana tersebut.
Cadangan undang-undang ketiga berkaitan pembiayaan politik, yang disifatkan Azam sebagai penting dalam mencegah konflik kepentingan, rasuah dan pengaruh tidak wajar dalam politik
Dalam pada itu, Azam berkata Malaysia ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus bagi menangani rasuah berskala besar, dengan Akta SPRM 2009 masih menjadi perundangan utama digunakan dalam pendakwaan kes rasuah.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan beberapa peruntukan lain seperti Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta Tatacara Kewangan 1957 serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 boleh digunakan terhadap kes salah guna dana awam.








