- LONDON: Manchester City menjulang trofi Piala EFL musim 2025/26 selepas menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi final di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
Wira kemenangan The Citizens, Nico O’Reilly, muncul pencetus kemenangan menerusi dua tandukan emas dalam babak kedua untuk memastikan pasukannya meraih kejuaraan kesembilan dalam saingan itu.
Selepas aksi separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, City akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-60 apabila O’Reilly memanfaatkan kesilapan penjaga gol Arsenal, Kepa Arrizabalaga, sebelum menanduk masuk gol pembukaan.
Hanya empat minit kemudian, pemain berusia 21 tahun itu sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila menanduk masuk gol kedua, sekali gus mematikan sisa kebangkitan The Gunners.
Arsenal yang turun selaku pasukan pilihan dan pendahulu liga gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki, termasuk beberapa percubaan awal yang berjaya dinafikan penjaga gol City.
Kejayaan ini turut menyaksikan pengendali City, Pep Guardiola, terus mencipta dominasi apabila meraih gelaran kelima Piala Liga dalam kariernya.
Kemenangan tersebut juga menghadiahkan trofi domestik pertama musim ini buat City, sekali gus menafikan impian Arsenal untuk memburu lebih banyak kejuaraan dalam kempen semasa.








