Pengerusi Urimai, P Ramasamy menggesa kerajaan supaya tidak hanya menekankan peningkatan kos subsidi bahan api, sebaliknya turut mendedahkan keuntungan besar yang diperoleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Menurut Malaysia kini, pendekatan kerajaan yang sering memberi alasan “kenaikan kos subsidi” dilihat tidak menyeluruh tanpa mengambil kira hasil berbilion ringgit yang diraih negara melalui eksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG).
Ramasamy mempersoalkan mengapa keuntungan besar syarikat minyak negara itu tidak digunakan untuk mengimbangi harga bahan api domestik, khususnya ketika rakyat berdepan kenaikan harga RON95, RON97 dan diesel.
“Mengapa Anwar Ibrahim tidak mendedahkan hasil pendapatan Petronas daripada eksport petroleum mentah dan LNG yang sepatutnya melonjak akibat peperangan di Asia Barat?
“Keuntungan bersih daripada kenaikan harga pasaran global tersebut sepatutnya digunakan untuk mengimbangi harga bahan api domestik bagi meringankan beban rakyat,” katanya.
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak meningkatkan jumlah subsidi selaras dengan kenaikan harga minyak dunia, memandangkan pendapatan negara juga meningkat dalam tempoh sama.
Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar aliran tunai hasil minyak negara, termasuk nilai kasar dan bersih yang diperoleh.
Ramasamy juga menyentuh pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar yang menurutnya bercanggah dengan pengekalan subsidi petrol secara pukal, selain mendakwa langkah itu mungkin bermotifkan politik bagi meraih sokongan.
“Alasan konflik luar negara tidak mencukupi sekiranya kerajaan gagal memberikan pendedahan penuh mengenai data eksport dan import bahan api negara kepada umum.
“Rakyat tidak seharusnya dipaksa menerima kenaikan harga tanpa mengetahui kedudukan sebenar aliran tunai hasil minyak negara,” katanya lagi.
Sementara itu, Anwar Ibrahim menjelaskan subsidi kerajaan meningkat mendadak daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan laluan utama minyak dunia di Selat Hormuz.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa kebajikan rakyat terus dilindungi melalui penyaluran subsidi bersasar seperti Budi Madani RON95 (Budi95) dan Budi Diesel, agar majoriti rakyat tidak perlu membayar harga pasaran sebenar yang meningkat.








