Pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang sebelum ini dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagaimanapun tidak didakwa kerana siasatan terhadap kes berkenaan masih belum dimuktamadkan.
Menurut Malaysia Gazette, peguamnya, Haniff Khatri Abdulla berkata setakat ini tiada sebarang pertuduhan difailkan terhadap anak guamnya memandangkan proses siasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan.
Menurut beliau, sebarang keputusan mengenai kemungkinan pertuduhan hanya akan diketahui selepas siasatan selesai sepenuhnya dan arahan lanjut diperoleh daripada pihak pendakwaan.
“Setakat ini belum ada pengesahan pertuduhan. Jika ada perkembangan, saya akan maklumkan,” katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, mesej yang tular di media sosial mendakwa Zamri akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sekitar pukul 8.30 pagi, menyebabkan beberapa pengamal media menunggu di lobi kompleks mahkamah bagi mendapatkan perkembangan terkini.








