Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu sedang mewujudkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, Muhyiddin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tuduhan liar yang tidak berasas serta berniat jahat dengan tujuan menjejaskan keharmonian dalam BERSATU dan hubungan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN).
“Ini adalah tuduhan liar yang tidak berasas serta berniat jahat semata-mata untuk menjejaskan keharmonian dalam parti BERSATU dan antara parti-parti anggota Perikatan Nasional,” katanya.
Muhyiddin berkata, BERSATU mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat.
Beliau menjelaskan bahawa sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik lain adalah berpandukan prinsip perjuangan tersebut.
Katanya, atas prinsip itu juga BERSATU telah mengasaskan Perikatan Nasional bersama PAS sebelum gabungan itu kemudiannya turut dianggotai oleh GERAKAN dan Malaysian Indian People’s Party (MIPP).
Muhyiddin menegaskan Perikatan Nasional kekal sebagai wadah terbaik untuk BERSATU merealisasikan perjuangan parti dan parti itu tidak pernah berganjak daripada pendirian tersebut.
Menurutnya, fokus utama BERSATU ketika ini adalah untuk memperkukuhkan parti serta memperkuatkan Perikatan Nasional sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).








