Bekas setiausaha agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, hari ini memuat naik satu tulisan berbentuk puisi berjudul “Rumah Bangsa” di akaun Facebook miliknya yang menyentuh mengenai pembinaan perpaduan dalam kalangan bangsa.
Dalam hantaran tersebut, Annuar menyatakan bahawa usaha membina “Rumah Bangsa” bukan sesuatu yang mudah dan tidak boleh dilakukan sekadar melalui kata-kata.
“Membina Rumah Bangsa tidak semudah kata-kata, tidak terbina di tapak lama yang terbakar kerana durjana,” tulisnya.
Menurut beliau, pembinaan sebuah “Rumah Bangsa” memerlukan penghuni yang mempunyai pegangan agama yang kuat, hati yang cekal, jujur dalam percakapan serta setia kepada bangsa.
Dalam tulisan itu juga, Annuar menyebut bahawa penghuni rumah tersebut tidak seharusnya menjadi “kuli kepada seteru” atau memusuhi sahabat bangsa sendiri.
Beliau turut menggambarkan bahawa “Rumah Bangsa” bukan sekadar usaha memanggil kembali rakan lama yang pernah difitnah, dianiya, ditendang atau dihina.
“Mungkin sudah terbina di tapak lain yang lebih sempurna, lebih dirahmati dan lebih digemari sekelian anak bangsa,” katanya.
Tambah Annuar, rumah tersebut mungkin telah pun wujud tanpa perlu retorik atau pelawaan kerana penghuninya hadir secara sukarela.
“Rumah Bangsa sudah ada. Tiada keperluan pura-pura membinanya,” tulisnya lagi dalam hantaran berkenaan.








