Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menegaskan tindakan membuat laporan polis tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai perbuatan menghasut, sebaliknya ia merupakan hak setiap warganegara untuk mendapatkan tindakan pihak berkuasa.
Beliau berkata, walaupun telah membuat beberapa laporan polis terhadap pendakwah kontroversi Zamri Vinoth, tiada satu pun laporan itu dibuat dengan niat untuk mencetuskan keganasan atau serangan terhadap individu berkenaan.
“Jika dia mahu, biarlah dia juga membuat laporan polis terhadap saya. Saya tiada masalah dengan itu,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas Zamri memuat naik satu klip video berdurasi 19 saat yang memaparkan beberapa individu tidak dikenali menghampiri sebuah kereta jenis Jaguar yang dipercayai miliknya dengan niat untuk menyerang.
Rayer bagaimanapun mempersoalkan kehadiran Zamri di Bukit Mertajam memandangkan protes yang dirancang di Kuil Shree Deva Maruthuvar Jada Muniswarar Alayam berhampiran Hospital Bukit Mertajam sebelum itu telah dibatalkan.
“Setakat yang saya tahu, kenapa dia datang ke Bukit Mertajam pada mulanya? Polis sudah memberi amaran supaya tidak berada di situ.
“Bagaimana laporan polis saya boleh mencetuskan sebarang serangan? Adakah saya membuat laporan sebagai seorang Hindu terhadap bukan Hindu?
“Sebagai warganegara negara ini, saya mahu negara ini kekal aman dan teratur, dan saya membuat laporan itu sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya.








