Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 59 akaun milik individu serta menyita pelbagai aset bernilai RM7,691,465.19 menerusi operasi khas dikenali sebagai Op Middleman yang dijalankan pada 24 Februari lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tindakan itu diambil hasil siasatan terhadap kumpulan tonto atau orang tengah yang dipercayai terlibat merasuah pegawai penguat kuasa.
Beliau berkata, hasil operasi tersebut, pihaknya berjaya menahan 18 individu termasuk empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), empat anggota Polis Trafik, dua pemilik syarikat, tujuh ejen serta seorang pemilik akaun keldai.
“Antara aset yang disita termasuk wang tunai RM326,625; $7,000 dolar Singapura dan $25,000 juta Indonesia Rupiah;
“Turut disita 25 kereta mewah dianggarkan bernilai RM2.5 juta; barang kemas kira-kira RM40,000; 27 telefon bimbit kira-kira RM81,000 serta 41 walkie talkie bernilai RM14,760.
“Manakala 59 akaun individu termasuk tonto dan syarikat terlibat yang dibeku pula melibatkan dana bernilai RM4,692,280,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Selain itu, Azam berkata, pihaknya juga sedang mengesan jejak transaksi rasuah berjumlah RM12.48 juta yang disalurkan kepada pihak tertentu dalam tempoh empat tahun dari 2021 hingga 2025.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak lain yang mungkin terlibat dalam kegiatan tersebut.- Malaysia Gazette








