Seorang aktivis yang dikenali sebagai Cikgu Chandra membalas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berhubung dakwaan provokasi dan perhimpunan haram di hadapan Hospital Bukit Mertajam.
Menerusi satu video yang dimuat naik di laman media sosialnya, Chandra mempersoalkan kenyataan Steven Sim yang menurutnya menyebut terdapat provokasi serta perhimpunan haram berkaitan isu di kawasan hospital tersebut.
“Saya nak tanya Steven Sim, yang you kata jaga semua bangsa, celah mana you jaga? You pernah jaga tak pesakit-pesakit di Hospital Bukit Mertajam?” katanya dalam video tersebut.
Beliau turut mendakwa terdapat aktiviti di hadapan kawasan hospital yang menurutnya boleh mengganggu ketenteraman pesakit.
“Depan hospital, depan sekolah, tak boleh bunyikan hon. Tapi kita tengok dari pagi sampai malam ada nyanyian dan bunyi bising,” katanya.
Dalam masa sama, Chandra turut menggesa Steven Sim supaya memberi kata putus berhubung isu sebuah kuil yang didakwanya terletak berhampiran pagar dan laluan di kawasan hospital tersebut.
“Kalau betul-betul nak jaga ketenteraman, keselamatan dan kesejahteraan semua warga Pulau Pinang, bagi kata putus. Pindahkan kuil tersebut,” katanya.
Beliau juga mendakwa bersedia berdepan sebarang tindakan undang-undang susulan kenyataan yang dibuatnya.
“Kalau hari Sabtu itu tak jumpa saya, carilah mana-mana lokap nanti,” katanya.
Video tersebut dimuat naik sebagai reaksi terhadap kenyataan Steven Sim sebelum ini yang menyentuh mengenai dakwaan provokasi serta perhimpunan haram di hadapan Hospital Bukit Mertajam.








