Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin menggesa kerajaan meminda beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara serta cadangan pengenalan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di akaun media sosialnya hari ini, Hamzah berkata ahli-ahli Parlimen Pembangkang telah meneliti RUU berkenaan, masing-masing dirujuk sebagai D.R.4/2026 dan D.R.5/2026.
Menurutnya, mesyuarat khas Ahli Parlimen Pembangkang pada 26 Februari lalu berpandangan kerajaan perlu meminda beberapa peruntukan dalam kedua-dua RUU tersebut sebelum ia dibentang dan diputuskan di Dewan Rakyat.
Mekanisme bebas dan semak imbang
Berhubung pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, Hamzah berkata pembangkang berpendirian kedua-dua institusi itu mesti benar-benar bebas daripada campur tangan dalam melaksanakan bidang kuasa masing-masing, serta tertakluk kepada mekanisme akauntabiliti yang jelas.
Beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan mekanisme bebas dan berwibawa dalam urusan pelantikan serta pemberhentian Pendakwa Raya, sama ada melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan atau kaedah lain yang setara dari segi kebebasan dan ketelusan.
Katanya, jawatankuasa tersebut hendaklah mempunyai kedudukan dan autoriti setaraf Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), termasuk kuasa memanggil dan menghadapkan Pendakwa Raya atau Peguam Negara dalam prosiding tertentu yang menyentuh isu dasar pendakwaan.
Selain itu, pembangkang turut menggesa supaya pindaan Perlembagaan berkenaan mempertimbangkan peruntukan yang membolehkan semakan kehakiman terhadap keputusan berkaitan kuasa pendakwaan serta pelaksanaan fungsi Peguam Negara, selaras dengan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen.
Had tempoh Perdana Menteri
Menyentuh cadangan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Hamzah berkata kerajaan perlu memastikan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak terjejas secara langsung atau tidak langsung.
Beliau menegaskan sebarang pindaan tidak boleh membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(a) yang dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, jika RUU itu membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat tertentu, ia hendaklah terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau turut berpendirian bahawa bagi mengimbangi pemusatan kuasa, Perdana Menteri tidak seharusnya memegang jawatan Menteri Kewangan dalam satu masa yang sama.
“Langkah-langkah pembetulan institusi bagi memperkukuh amalan semak dan imbang tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan atau bersifat kosmetik,” katanya.
Hamzah turut mendesak kerajaan menambah baik perkara-perkara dalam RUU yang dicadangkan berasaskan prinsip pemisahan kuasa yang tulen, kebebasan institusi kehakiman dan pendakwaan, serta memelihara budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu bertarikh 28 Februari 2026 di Kuala Lumpur.








