Tiga daripada empat anak bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai kini berada di luar negara, menurut rekod Jabatan Imigresen Malaysia hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, mengesahkan berdasarkan rekod jabatan berkenaan bahawa tiga beradik tersebut telah meninggalkan Malaysia pada akhir Januari dan awal Februari lalu. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut termasuk lokasi semasa mereka kerana siasatan masih dijalankan oleh SPRM.
“Ya, saya sahkan mereka sudah pun keluar dari Malaysia kecuali seorang yang buat masa ini tiada rekod pergerakan keluar dari negara. Lokasi keberadaan mereka tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan dijalankan oleh SPRM,” kata Zakaria
SPRM sebelum ini dalam satu kenyataan memohon bantuan orang ramai untuk mengesan keempat-empat individu itu bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan. Nama-nama yang disiarkan ialah Asnida, Wira Dani, Amir Zainuddin dan Amin Zainuddin, dengan alamat terakhir mereka dikenal pasti di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Malaysia Kini








