Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Sathia Prakash Nadarajan, hari ini menyeru orang ramai supaya tidak membuat penilaian umum terhadap mana-mana kumpulan susulan insiden seorang pelajar universiti didakwa memijak al-Quran yang tular baru-baru ini.
Pengarah pilihan raya PKR Selangor itu menegaskan bahawa beban kesalahan perlu dipikul oleh individu yang terlibat tanpa mengaitkan latar belakang kaum atau agama tertentu, demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Dr Sathia berkata:
“Ancaman utama bukanlah perbezaan masyarakat, sebaliknya tindakan individu yang menggunakan platform digital untuk mencetuskan emosi dan perpecahan.”
Beliau menambah bahawa:
“Kesalahan perlu ditanggung individu yang terlibat dan tidak wajar digeneralisasikan kepada mana-mana kumpulan.”
Dr Sathia turut menekankan prinsip penting bahawa masyarakat tidak patut menyalahkan latar belakang seseorang, sebaliknya memberi tumpuan kepada pihak yang melakukan kesalahan.
Mengulas lanjut mengenai situasi yang berlaku, beliau menyatakan bahawa Malaysia kini menghadapi cabaran besar apabila media sosial disalahgunakan oleh segelintir pihak untuk menyemai kebencian yang berpotensi menjejaskan fabrik sosial yang telah lama terbina. – Malaysia Kini








