Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, menjelaskan bahawa pemakluman status Ahli Parlimen yang dipecat dan proses menamakan Ketua Pembangkang baharu merupakan dua perkara yang berasingan.
Dalam satu hantaran di media sosial, beliau berkata isu berkenaan tidak rumit untuk difahami dan menegaskan bahawa persoalan pokok adalah keperluan untuk memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai status terkini keahlian parti Ahli-ahli Parlimen yang dipecat.
Menurutnya, “memberi pemakluman” kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan “menamakan Ketua Pembangkang yang baru” adalah dua proses yang berbeza.
Tun Faisal menjelaskan bahawa perkara pertama melibatkan penghantaran surat pemakluman mengenai status keahlian enam Ahli Parlimen Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang telah dipecat. Katanya, tindakan itu boleh dilaksanakan dengan segera hanya melalui sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai sehari.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata perkara kedua pula ialah memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN bagi memilih dan menamakan Ketua Pembangkang yang baharu. Beliau menegaskan perkara itu boleh dilakukan selepas Dewan Rakyat tamat bersidang dan tidak berkait dengan baki tempoh persidangan sama ada dua, empat atau 10 hari.
Tun Faisal berkata pemindahan tersebut tidak semestinya berlaku dalam tempoh dua hari persidangan, namun tidak wajar jika ia berlarutan sehingga berbulan-bulan.
Beliau turut menegaskan bahawa tugas menamakan Ketua Pembangkang baharu adalah tanggungjawab MT PN dan perlu diputuskan dalam mesyuarat rasmi, manakala tugas memperakui Ketua Pembangkang baharu adalah kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas nama tersebut diangkat oleh MT PN.
Tambah beliau, proses itu akan menjadi lebih mudah sekiranya dasar dan keputusan berkaitan telah dibincangkan serta dipersetujui dalam Mesyuarat Luar Biasa MT PN pada 22 Februari 2026.
“Proses pemakluman status keahlian Ahli Parlimen Bersatu dan PN yang dipecat bukan ‘rocket science’,” katanya.








