Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan mengecam tindakan seorang pelajar universiti yang didakwa memuat naik gambar al-Quran dipijak di media sosial dan menekankan kepentingan melindungi keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Dalam kenyataannya, Syahredzan menyeru semua pihak supaya menjauhi sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum. Beliau berkata:
“Apa-apa perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan dan sebarang hinaan dan provokasi agama, tidak kira agama apa sekalipun, wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.”
Syahredzan juga menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk merangka program antara agama, terutamanya di kalangan anak muda. Beliau menambah:
“Saya juga menggesa supaya pihak kerajaan, terutama sekali Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Perpaduan untuk bersama-sama merangka program untuk memperbanyakkan aktiviti di kalangan anak muda pelbagai bangsa dan agama.”
Syahredzan turut memberi amaran tentang akibat negatif ketegangan berterusan dalam negara.
“Hanya dengan keamanan, barulah kita boleh terus mengecapi kemakmuran. Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara.”
Semalam polis menahan seorang pelajar universiti di Pahang bagi membantu siasatan kes hantaran media sosial tersebut, yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini. Individu itu kini disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -Malaysia kini







