PARLIMEN: YB Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM,Tan Sri Azam Baki, termasuk meletakkan jawatan susulan dakwaan berkaitan pegangan saham melebihi had yang dibenarkan.
Berucap ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Khoo mendakwa isu pegangan saham melibatkan Azam bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dibangkitkan pada 2022 dan kini didakwa timbul sekali lagi.
“Pada tahun 2022, Ketua Pesuruhjaya SPRM pada ketika itu juga memiliki saham lebih daripada yang dibenarkan. Ini merupakan kali kedua dibongkarkan. Jadi, saya minta supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas, Azam Baki perlu letak jawatan,” katanya.
Khoo turut menegaskan bahawa kedudukan Azam sebagai ketua agensi antirasuah negara menuntut tahap integriti yang tinggi dan sebarang keraguan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.
“He have to go dengan izin. Either he have to go or we have to go. He go or we go,” katanya lagi, sambil memberi amaran bahawa kegagalan bertindak boleh memberi kesan politik kepada kerajaan.
Menurutnya, sekiranya kerajaan membenarkan Azam terus memegang jawatan, pengundi mungkin akan “menghukum” kerajaan pada pilihan raya akan datang.
“Saya harap masa bahas saya tamat, tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas pilihan raya akan datang,” katanya.








