theme-sticky-logo-alt
February 22, 2026
328 Views

“Mesyuarat Melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Sebagai Pengerusi PN”- Takiyuddin

Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu gabungan itu berkuat kuasa serta-merta, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2026. Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi... Read More

Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu gabungan itu berkuat kuasa serta-merta, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, petang tadi.

Menurutnya, mesyuarat yang bermula jam 3 petang itu dihadiri semua ahli Majlis Tertinggi termasuk empat presiden parti komponen, iaitu Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Ho Chai dan Presiden MIPP, S P Punithan.

“Mesyuarat telah meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.

“Mesyuarat seterusnya dengan sebulat suara melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

PAS parti terbesar Parlimen, isu Ketua Pembangkang diteliti

Takiyuddin berkata, antara perkara yang turut dibangkitkan ialah cadangan supaya jawatan Ketua Pembangkang diberikan kepada PAS sebagai parti terbesar PN di Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, belum ada keputusan muktamad kerana PAS memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara itu.

“Kita bersetuju secara prinsip bahawa kerusi Ketua Pembangkang dipegang oleh PAS sebagai parti terbesar dalam Parlimen, tetapi belum ada keputusan rasmi lagi,” katanya.

Perlembagaan PN benarkan sesiapa dipilih

Mengulas pemilihan Ahmad Samsuri, beliau berkata Perlembagaan PN tidak menetapkan bahawa hanya presiden parti boleh dilantik sebagai pengerusi.

“Dalam Perlembagaan PN tidak dinyatakan siapa yang boleh dilantik sebagai Pengerusi. Sesiapa sahaja dalam PN boleh dipilih oleh Majlis Tertinggi.

“Atas dasar itu, PAS berpandangan dengan kelebihan yang ada pada Dr Samsuri — beliau dua penggal Menteri Besar Terengganu dan menunjukkan prestasi cemerlang pada PRU15 serta PRN Terengganu dengan memenangi semua kerusi atas tiket PN — beliau layak menerajui PN,” katanya.

Beliau berkata pencalonan Ahmad Samsuri dibuat Presiden PAS dan dipersetujui secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi.

Muhyiddin kini Timbalan Pengerusi PN

Takiyuddin turut memaklumkan Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN, manakala timbalan lain kekal seperti sedia ada.

Presiden PAS pula tidak berhasrat menganggotai Majlis Tertinggi PN dan hanya akan berada dalam Majlis Presiden.

Beliau berkata Ahmad Samsuri tidak hadir dalam mesyuarat itu kerana bukan lagi ahli Majlis Tertinggi ketika ini, dan keputusan pelantikan akan dimaklumkan secara rasmi oleh sekretariat PN.

Perlembagaan akan diteliti semula

Takiyuddin turut memaklumkan cadangan penambahbaikan terhadap Perlembagaan PN, termasuk peranan Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi, akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang bagi memperkukuh gabungan itu menjelang pilihan raya.

“Kita mahu memperkuat PN ke arah pilihan raya dan masa depan negara,” katanya sambil menyifatkan suasana mesyuarat berlangsung dalam keadaan harmoni dan selesai dalam tempoh kira-kira 30 minit.

PN sedia hadapi pilihan raya

Mengulas kedudukan PN di Parlimen dan isu siasatan terhadap pimpinan parti, beliau berkata gabungan itu sentiasa terbuka terhadap sebarang siasatan dan akan mendapatkan arahan lanjut daripada pengerusi baharu berhubung kedudukan seterusnya.

“Kita bersedia untuk pilihan raya. Kita tidak ada pilihan selain bersedia,” katanya.

Sidang media itu menandakan perubahan penting dalam kepimpinan PN, dengan Ahmad Samsuri dijangka memainkan peranan utama dalam menyusun strategi gabungan itu menjelang perkembangan politik seterusnya.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1

Discover more from New Malaysian Post

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading