Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh mengecam kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang melabelkan pendirian politiknya sebagai satu “kegilaan”.
Menerusi satu hantaran di media sosial hari ini, Akmal menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak wajar dan berlebihan, memandangkan beliau hanya menyuarakan pandangan berkaitan partinya sendiri tanpa menyentuh mana-mana parti lain.
“Bila kita beri pandangan untuk parti sendiri tanpa sentuh parti orang lain dianggap kita gila pula.
“Apa salah saya sampai dikatakan sebegini. Moga Allah berikan yang baik-baik untuk pak cik Khalid Samad,” katanya.
Hantaran itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Khalid sebelum ini yang mengkritik pendirian politik Akmal dan menyifatkannya sebagai tidak rasional.
Akmal bagaimanapun menegaskan bahawa setiap pemimpin berhak menyuarakan pandangan terhadap hala tuju parti masing-masing tanpa perlu dilabel atau diserang secara peribadi.







