KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah keras tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menguatkuasakan operasi terhadap aktiviti ‘Street Dakwah’ di Bukit Bintang, petang semalam.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Malaysia, Mohamed Sukri Omar, berkata tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai kewajaran serta pendekatan penguatkuasaan yang digunakan.
Menurut beliau, aktiviti tersebut telah dijalankan lebih 14 tahun tanpa sebarang insiden atau gangguan ketenteraman awam.
“Street Dakwah bukan aktiviti komersial atau politik, sebaliknya usaha menyampaikan mesej Islam secara aman dan berhikmah kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan pihak penganjur, Multiracial Reverted Muslims (MRM), sentiasa bersedia mematuhi undang-undang dan memohon permit sekiranya diwajibkan.
“Kami menyeru DBKL dan Kerajaan Wilayah Persekutuan mengadakan dialog terbuka agar perkara ini dapat diselesaikan secara matang” katanya lagi. -Malaysia Kini








