Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengulas perkembangan terbaru krisis dalaman parti yang semakin memuncak menyifatkan keadaan itu sebagai hasil tindakan sesetengah pihak yang dilihat mensabotaj perpaduan parti walaupun pelbagai usaha untuk mengelakkan konflik telah dijalankan.
Beliau menegaskan bahawa keputusan disiplin, termasuk pemecatan beberapa pemimpin kanan, tidak diambil secara terburu-buru; sebaliknya dibuat setelah usaha rundingan dan perdamaian secara berperingkat dijalankan.
“Sebelum tindakan diambil, pelbagai usaha telah dibuat termasuk mengadakan pertemuan dengan pihak terlibat bagi mencari jalan perdamaian dan menyelamatkan Bersatu. Namun, terdapat pihak yang terus melakukan sabotaj untuk memecah-belahkan parti,” tegasnya.
Muhyiddin menyatakan bahawa beliau sepanjang bertahun-tahun telah sabar berdepan dengan apa yang dianggapnya sebagai sabotaj dan serangan dalaman, malah pernah memberi jawatan kepada individu yang diketahui menentangnya demi menjaga perpaduan namun ia tidak dihargai.
Beliau menambah bahawa MPT hari ini turut membincangkan langkah kukuh untuk memperkasakan semula parti serta memastikan Bersatu terus setia kepada perjuangan asalnya menjelang pilihan raya akan datang.
“Saya memikul tanggungjawab untuk memastikan Bersatu kekal kuat dan tidak terpesong daripada perjuangan. Ramai antara kami yang terlibat sejak awal penubuhan parti tidak sanggup melihatnya musnah akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab,” katanya. -Astro Awani








