Datuk Seri Hamzah Zainudin, bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), secara terbuka mengisytiharkan dirinya sebagai penentang nombor satu kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada satu taklimat politik di ibu negara hari ini.
Dalam ucapannya pada Taklimat Halatuju dan Reset Politik yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Hamzah berkata beliau pernah menyokong Presiden Bersatu tetapi kini mengambil pendirian berbeza.
“Dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) saya bangun katakan saya orang nombor satu penyokong kepada Presiden, hari ini saya nak beritahu, sayalah penentang nombor satu kepada Presiden,” katanya.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui sebab sebenar pemecatannya daripada Bersatu, walaupun keputusan itu dibuat selepas PAT baru-baru ini. Beliau mendakwa tidak terlibat atau diberi penjelasan mengenai tuduhan terhadapnya:
“Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam PAT… Hari ini saya dipecat kerana tidak mengawal perkara yang saya tidak tahu… Hantu apa yang ada dalam parti ini?” ujar beliau.
Hamzah turut menegaskan bahawa beliau tidak akan memohon untuk kembali ke Bersatu, dan meminta maaf kepada rakan-rakan politiknya atas keputusan itu.- Sinar Harian








