SHAH ALAM: Datuk Seri Hamzah Zainudin dijadual mengadakan satu taklimat berkaitan hala tuju serta “reset” politik petang ini selepas beliau dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menurut jemputan yang dikeluarkan kepada media.
Taklimat yang dijadual berlangsung sekitar jam 2 petang di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur itu turut melibatkan beberapa ahli Parlimen, ketua bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang masih berkaitan parti berkenaan.
Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan Hamzah serta 16 lagi ahli parti di bawah Fasals tertentu perlembagaan parti, berikutan didakwa melanggar Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan ahli parti.
Dalam masa yang sama, Bersatu akan mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pagi ini untuk membincangkan agenda penting berkaitan hala tuju parti di kediaman Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menurut notis mesyuarat yang dikeluarkan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -Sinar Harian








