ROMA — Kerajaan Itali sekali lagi menahan sebuah kapal milik organisasi bantuan kemanusiaan dari Jerman selepas selesai menjalankan misi menyelamatkan migran di perairan Laut Mediterranean.
Kapal Humanity 1, yang beroperasi di bawah organisasi bukan kerajaan SOS Humanity, telah menyelamatkan 33 orang migran dan menemui dua mayat mangsa dalam misi terbarunya sebelum ia diarah kekal di pelabuhan Trapani, pulau Sicily, selama 60 hari. Selain itu, pihak berkuasa Itali mengenakan denda sebanyak €10,000 (kira-kira US$11,870) terhadap kapal tersebut.
Menurut kenyataan organisasi itu, tindakan penahanan itu adalah kali kedua terhadap kapal tersebut dalam tempoh yang singkat, mencerminkan ketegangan yang berterusan antara NGO penyelamat dan pihak berkuasa Itali berkaitan operasi di laut.
Kerajaan Itali mempertahankan keputusan itu dengan alasan bahawa kru kapal telah melanggar peraturan di laut lepas, termasuk dakwaan kegagalan berkomunikasi dengan pusat penyelarasan menyelamat maritim Libya semasa operasi. Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Piantedosi, menyifatkan tindakan kapal itu sebagai “tidak bertanggungjawab” yang turut membahayakan nyawa para migran.
Insiden ini berlaku di tengah perdebatan berterusan mengenai dasar migrasi Itali dan pengetatan peraturan ke atas kapal-kapal bantuan yang beroperasi di Mediterranean, di mana tindakan sedemikian sering mencetuskan kritikan dari kumpulan hak asasi serta organisasi kemanusiaan di peringkat antarabangsa. -Astro Awani








