Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menggesa kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dengan segera jika benar mahu mengambil tindakan terhadapnya.
Wan Fayhsal yang kini digantung keahlian Bersatu selama satu penggal berkata, kepimpinan parti perlu bertindak tegas dan tidak lagi bermain “drama” media, sebaliknya menunjukkan keberanian dalam membuat keputusan.
Dalam ciapan di Facebook, beliau secara sinis menegur tindakan yang dilihat lambat dan tidak tegas, serta meminta pemecatan dilakukan “betul-betul” tanpa kompromi, menegaskan ia penting demi mempertahankan prinsip parti.
Wan Fayhsal turut menuding jari kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan menyifatkan beberapa pemimpin kini hanya mendengar kumpulan yang sentiasa menyokong tanpa soal, sekali gus merosakkan maruah parti.
Ucapan dan gesaan beliau muncul di tengah spekulasi mengenai kemungkinan tindakan disiplin lebih lanjut terhadap Hamzah, yang dikatakan bakal dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti tidak lama lagi.
Kenyataan itu mencerminkan ketegangan dalaman dalam Bersatu, dengan perdebatan semakin hangat mengenai tindakan terhadap pemimpin kanan serta masa depan kepimpinan parti itu sendiri. -MalaysiaGazette








