IPOH: DAP Perak menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk meneruskan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pada akhir 2027.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Perak berada di landasan tepat serta perlu diteruskan bagi memastikan momentum pembangunan negeri tidak terganggu oleh percaturan politik.
“Sekarang bukan masa untuk bermain politik. Selagi Menteri Besar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, kita akan berdiri teguh bersama beliau sehingga ke penghujung penggal,” katanya selepas pembentangan Belanjawan Perak 2027.
Nga turut memberi amaran kepada pihak yang berhasrat mengambil alih kerajaan melalui langkah politik sebelum tamat penggal supaya menunggu sehingga pilihan raya seterusnya.
Menurutnya, kestabilan politik hasil kerjasama PH-BN menjadi antara faktor yang membolehkan Perak mencatat lebihan belanjawan lima tahun berturut-turut, dengan jumlah surplus terkumpul mencecah sekitar RM195 juta.
Beliau turut merujuk prestasi ekonomi negeri yang merekodkan pertumbuhan 5.7 peratus, peningkatan sektor pembuatan 15.2 peratus dan kadar pengangguran 3.5 peratus sebagai bukti keberkesanan pentadbiran semasa.
Pendirian DAP Perak itu hadir ketika spekulasi mengenai pembubaran DUN kembali timbul selepas tersebar dakwaan kononnya Saarani telah memohon perkenan Sultan Perak untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.
Saarani sebelum ini menegaskan tiada cadangan atau keperluan mendesak membubarkan DUN selepas pembentangan Belanjawan 2027, selain menjelaskan pentadbiran negeri masih mempunyai kira-kira setahun untuk menyelesaikan mandat rakyat.
Untuk rekod, DUN Perak mempunyai 59 kerusi dengan PH menguasai 24 kerusi, BN sembilan dan PN 26. PH dan BN membentuk kerajaan negeri selepas PRU15 dengan sokongan 33 ADUN.
Sumber: MG Perak,Bernama,Sinar Harian,Utusan Malaysia.








