theme-sticky-logo-alt
November 24, 2026
13 Views

“Perdana Menteri Boleh Datang Dan Pergi Tetapi Nasib Rakyat Mesti Terus Dibela,”-Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR-Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmennya untuk terus membela nasib rakyat dan mengangkat martabat negara sempena genap empat tahun beliau menggalas amanah sebagai Perdana Menteri, hari ini. Anwar berkata, meskipun pelbagai usaha pemulihan dan pembaharuan telah dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan, masih banyak perkara perlu dilakukan bagi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik. Mengimbau kembali permulaan... Read More

KUALA LUMPUR-Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmennya untuk terus membela nasib rakyat dan mengangkat martabat negara sempena genap empat tahun beliau menggalas amanah sebagai Perdana Menteri, hari ini.

Anwar berkata, meskipun pelbagai usaha pemulihan dan pembaharuan telah dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan, masih banyak perkara perlu dilakukan bagi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik.

Mengimbau kembali permulaan pentadbirannya, beliau berkata, amanah mengemudi negara diterima ketika Malaysia berdepan pelbagai cabaran, termasuk tekanan ekonomi, kedudukan kewangan yang terbatas serta peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sekian lama berakar turut menuntut keberanian kerajaan untuk melaksanakan perubahan.

“Sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, tekad saya adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat.

“Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini mesti terus digalas dengan penuh kesungguhan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi membina asas negara yang lebih kukuh, termasuk memperkemas kedudukan kewangan, memperbaiki tatakelola, menggerakkan reformasi institusi serta memperkukuh kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ukuran sebenar kemajuan negara adalah apabila kehidupan setiap keluarga bertambah baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan generasi akan datang lebih terbela.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa asas yang dibina sepanjang tempoh berkenaan mampu membantu kerajaan meringankan beban rakyat serta menyediakan lebih banyak peluang yang adil kepada semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada rakyat atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan sepanjang beliau menerajui pentadbiran negara.

“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela, dan martabat negara mesti terus diangkat,” katanya.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1